Rabu, 15 Disember 2010

Bapa Optik Moden - AL-HAITHAM



ABU Ali Hasan Al Haitham yang dikenali sebagai Alhazen di barat, merupakan Bapa Optik Moden. Beliau merupakan pakar fizik yang terunggul melalui sumbangan terhadap kaedah optik dan saintifik. Abu Ali Hasan dilahirkan pada 965 Masihi di Basrah dan mendapat pendidikan di Basrah dan Baghdad.

Beliau merantau ke Mesir dan Sepanyol tetapi hidupnya banyak dihabiskan di Sepanyol dengan mengendalikan penyelidikan mengenai optik, matematik, fizik, perubatan dan pembangunan kaedah saintifik.

Antara uji kaji yang dijalankan ialah penyebaran cahaya dan warna, pantulan dan ilusi optik.

Beliau mengkaji pembiasan sinaran cahaya melalui medium telus seperti air dan udara dan menemui undang-undang yang terdapat dalam pembiasan.

Selain itu beliau merupakan tokoh yang pertama menjalankan kajian mengenai penyerakan cahaya kepada warna konstituen.

Semasa kajian mendalam mengenai segmen sfera (gelas yang diisi air) beliau hampir membuat penemuan mengenai teori lensa pembesar yang dibangunkan di Itali tiga abad kemudiannya.
Snell dan Descartes pula terpaksa mengambil masa selama tiga abad kemudiannya untuk mencadangkan mengenai undang-undang sinus.

Kitab-al-Manazir hasil tulisan Ali Abu Hasan telah diterjemahkan ke bahasa Latin semasa era pertengahan yang turut memuatkan perihal warna matahari terbenam.

Beliau menghabiskan banyak masa dengan teori pelbagai fenomena fizikal seperti pelangi, bayang-bayang, gerhana matahari dan ramalan mengenai keadaan fizikal cahaya.
Pada abad ke-13 Roger Bacon, Pole Witelo (Vitellio) dan penulis-penulis mengenai optik era pertengahan di barat, menggunakan Opticae Theasaurus tulisan Ali Abu Hasan sebagai asas dalam kerja optik.

Hasil kerja Ali Abu Hasan turut mempengaruhi Leonardo da Vinci dan Johann Kepler.

Pendekatan beliau terhadap optik menghasilkan idea-idea baru dan terbukti melalui penemuan dalam kaedah uji kaji.

Ali Abu Hasan juga merupakan manusia pertama yang memperincikan secara tepat pelbagai bahagian mata dan memberi penjelasan saintifik mengenai proses penglihatan.

Beliau menyangkal teori penglihatan Ptolemy dan Euclid yang menyebut bahawa mata menghantar sinaran visual kepada objek yang dilihat.

Menurut Ali Abu Hasan, sinaran berasal dalam objek yang dilihat dan dan bukan dalam mata.

Beliau cuba menjelaskan mengenai penglihatan binokular dan memberi penjelasan yang betul mengenai pembesaran yang ketara dalam saiz matahari dan bulan semasa ia mendekati horizon.

Ali Abu Hasan juga dikenali melalui penggunaan awal kamera obscura.

Melalui kajian lanjut mengenai optik maka beliau digelar sebagai Bapa Optik Moden.

Dalam penulisannya, seseorang akan menemui penjelasan yang nyata mengenai pembangunan kaedah saintifik seperti yang dibangunkan dan diaplikasikan oleh umat Islam, pemerhatian yang sistematik mengenai fenomena fizikal dan hubungannya dengan teori saintifik.

Ini merupakan penemuan terbesar dalam metodologi saintifik dan menempatkan kajian saintifik di tapak yang kukuh terdiri daripada hubungan sistematik antara pemerhatian, hipotesis dan pengesahan.

Kajian beliau dalam catoptrics memfokuskan mengenai cermin parabolik dan sfera serta penyimpangan sfera.

Beliau melakukan pemerhatian penting bahawa nisbah antara sudut biasan dan tuju tidak kekal dan tetap serta menyiasat mengenai kuasa lensa pembesar.

Dalam bukunya Mizan al-Hikmah, Ali Abu Hasan membincangkan ketumpatan atmosfera dan menghasilkan hubungan antara atmosfera dan ketinggian.

Beliau turut mengkaji pembiasan atmosfera dan membuat penemuan bahawa fajar senja hilang dan timbul apabila matahari berada pada 19 darjah di bawah horizon dan cuba mengukur ketinggian atmosferanya.

Sumbangan beliau kepada fizik dan matematik amat besar. Dalam matematik beliau membangunkan geometri analitikal dengan penemuan hubungan antara algebra dan geometri.
Dalam fizik beliau mengkaji mengenai pergerakan mekanik tubuh manusia dan beliau merupakan manusia pertama mengemukakan bahawa tubuh manusia bergerak terus menerus kecuali suatu paksaan dari luar menghalangnya atau mengubah arah pergerakan.

Ali Abu Hasan telah menulis lebih 200 buku tetapi hanya sedikit sahaja yang masih terselamat. Karya agungnya terhadap optik berjaya diselamatkan melalui terjemahan ke bahasa Latin.

Pada era pertengahan bukunya mengenai kosmologi telah diterjemahkan ke bahasa Latin, Hebrew dan beberapa bahasa Eropah.

Beliau turut menulis sebuah buku mengenai evolusi yang sangat berguna untuk dibaca sehingga ke hari ini.

Pengaruh beliau secara umum terhadap sains fizikal dan khususnya optik, amat disanjungi dan ideanya melambangkan ilmu era baru dalam penyelidikan teoritikal dan uji kaji optikal.


Laman Web Rujukan:
www.islamic-paths.org

0 comments:

Catat Ulasan

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes